Langkah Tercipta

Dalam kita melangkah terkadang diuji dengan ujian yang terasa berat hingga kita terduduk menangis.. peritnya terasa.. tapi ketahuilah dan renungilah kembali ke dalam diri kerana mungkin air mata tika itu hadir kerana Dia mahu kita menjahit kembali sejadah iman yang kian terkoyak lantaran ada langkah-langkah yang tersasar dari keikhlasan dan semoga kita tabah dan ditetapkan iman. Disebalik kepayahan, disitulah kekuatan..

Menarik??? Jom Baca!!!

Saturday, August 28, 2010

Nur Ramadhan Siri 3 : Cicak yang Tuli

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan diucapkan kepada semua warga Bumi Tarbiyah. Kita baru sahaja melepasi fasa pertama dalam bulan Tarbiyah, bulan Ramadhan iaitu fasa rahmat dan kita juga baru sahaja melangkahkan kaki kita ke dalam fasa yang kedua iaitu fasa keampunan. Namun, apakah kita telah dapat mencapai matlamat kita dalam bulan ini? Apakah terdapat perubahan positif atau peningkatan iman dalam diri kita? Sama-sama kita renungkan dan muhasabah diri kita. Di sini, saya ingin membawa suatu cerita yang boleh kita jadikan pengajaran.

Ini sebuah cerita tentang cicak. Pada 27 hb tahun ke 13 cicak, Drazil, ketua kepada segala cicak-cicak di Lizard Village merancang untuk meraikan ulang tahun kelahirannya dengan menganjurkan sebuah pesta dengan mengadakan pelbagai pertandingan dan acara. Antara acara yang telah diadakan adalah memanjat pokok pinang yang telah dilumurkan dengan minyak. Sebanyak 25 ekor cicak telah menyertai acara ini dan cicak-cicak yang lain hanya menjadi penonton. Apabila wisel dibunyikan pada jam 8.00 pagi, semua cicak-cicak berlumba untuk naik ke puncak pokok pinang. Baru sahaja acara bermula, sudah ada cicak yang telah tergolek, terjatuh dan menangis dek tidak tahan dengan licinnya minyak. Pada jam 12 tengah hari, hanya tinggal 5 ekor cicak sahaja. Terdapat sebahagian penonton yang cuba untuk menjatuhkan semangat cicak yang masih mencuba untuk naik ke puncak. “ Sudahlah tu, mesti tak dapat sampai ke puncak”, “Turun sahaja, mengaku kalah saja”, lalu hampir semua cicak hilang semangat kecuali seekor cicak yang bernama Kubing. Kubing masih mencuba untuk memanjat pokok pinang itu lagi walaupun disogok dan tidak mendapat sokongan. Tepat jam 2.46 petang, Kubing berjaya sampai ke puncak pokok pinang. Semua cicak-cicak di Lizard Village terkejut. Apabila diselidik, ditemu ramah dan di tanya tentang rahsia kejayaan, Kubing tidak mempunyai sebarang keistimewaan. Namun, dia hanya seekor cicak yang tuli.

Kita bayangkan jika kita berada disituasi yang sama seperti Kubing. Bagaimana dia dapat melawan segala kata-kata penonton yang cuba menjatuhkan semangatnya dengan memiliki telinga yang tuli? Kita andaikan penonton yang cuba untuk menjatuhkan tadi dengan nafsu kita. Bagaimana nafsu kita cuba untuk menghasut serta menjatuhkan kita supaya kita tunduk dengan nafsu kita? Terutama sekali dalam bulan Ramadhan ini. Cicak-cicak lain yang telah jatuh sejak dari bermulanya acara ibarat seorang manusia yang telah jatuh dan tunduk mengikut nafsu masing-masing tanpa mencuba dan berusaha melawannya. Contohnya, bazar Ramadhan setiap tahun, menyajikan kepada kita pelbagai jenis juadah. Hari ini, akibat tidak menjadi tuli kepada nafsu sebaliknya bertuankan nafsu, terdapat ramai insan yang membeli dengan banyak sehingga terjadinya pembaziran wang. Terdapat juga yang makan hanya sedikit dan akhirnya tong sampah juga menjadi kekenyangan menelan makanan. Andai kita fikirkan dan teringatkan saudara seIslam kita yang berada di luar sana seperti di Palestin, pasti kita tidak sanggup untuk melakukan pembaziran apatah lagi kekenyangan dengan mengikut kehendak nafsu semata-mata.


Di samping itu, jika kita tidak menjadi tuli kepada nafsu, daun kehormatan wanita pasti hilang, pendirian lelaki yang teguh pasti rebah dan jatuh, masalah-masalah sosial yang kita lihat dalam dada-dada akhbar hari ini seperti masalah pembuangan anak, kes-kes khalwat dan penzinaan tambahan lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia in juga pasti akan berlaku. Jika dapat kita terapkan wanita solehah yang diibaratkan seperti pokok semalu dan lelaki soleh seperti cendawan beracun masalah-masalah seperti ini pasti dapat kita elakkan. Andai Kubing berjaya kerana tuli telinganya kepada penonton yang mahu menjatuhkannya, mengapa kita tidak menjadi tuli kepada nafsu kita supaya kita berjaya sampai ke puncak ketinggian iman dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

by : UZAIQ

Hati yang hidup dan sihat, apabila ditawar dengan kebatilan dan 
keburukan, biasanya ia pasti menghindar, membenci dan tidak akan 
menolehnya. Tetapi hati yang mati. Ia tidak dapat membezakan 
yang baik dan yang buruk walaupun diberi
kebaikan tetapi dianggap buruk olehnya.

Nur Ramadhan Siri 1 : RAMADHAN SEPANJANG SEJARAH


Bulan Ramadhan Al-Mubarak telah banyak menyaksikan peristiwa suka duka dan pahit manis umat Islam sepanjang sejarah sejak bermulanya tempoh kebangkitan Rasul yang terakhir Muhammad s.a.w. Kebanyakan peristiwa tersebut berlaku samada melibatkan umat Jslam dengan golongan kuffar mahupun sesama Islam sendiri. Sempena Ramadhan yang baru menjelma ini, kita selaku generasi umat Islam yang terkemudian sewajarnya kepada kita mengimbau kembali catatan sejarah umat Islam terdahulu yang telah banyak menaburkan jasa dan bakti mereka demi memastikan survival agama Allah di muka bumi ini terus terpelihara.

Antara peristiwa-peristiwa penting yang telah dicatatkan berlaku pada bulan Ramadhan:

-Al-Qur'an mula diturunkan dengan turunnya ayat yang pertama sehingga yang kelima dari surah al-'Alaq kepada Rasulullah S.A.W semasa Baginda di gua Hira'.

-Tahun 2 Hijriyah, telah berlaku peperangan Badar al-Kubra. Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah S.A.W bersama-sama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadhan dan pada 17 Ramadhan terjadilah peperangan Badar al-Kubra. Peperangan ini dimenangi oleh Islam dan inilah kemenangan pertama pejuang-pejuang Islam menentang kemusyrikan dan kebatilan. Pada tahun kedua Hijriyah juga, zakat fitrah mula disyariatkan.

-Tahun 5 Hijriyah, para pejuang Islam membuat persiapan untuk menghadapi musuh di Madinah yang mana peperangan itu terjadi pada bula Syawal pada tahun itu juga. Dikenali dengan nama perang Khandaq atau Al-Ahzab, pejuang Islam telah mendapat kemenangan gemilang dalam peperangan ini.

-Pada 21 Ramadhan tahun 8 Hijriyah, Allah Ta'ala memberi kemenangan besar kepada Rasulullah S.A.W dan umat Islam dengan pembukaan kota suci Makkah. Baginda bersama para sahabat meninggalkan Madinah menuju ke Makkah pada 10 Ramadhan dan mula memasuki kota Makkah pada 21 Ramadhan. Pada bulan Ramadhan tahun yang sama Baginda mengutus beberapa kumpulan sahabat untuk merobohkan berhala-berhala terkenal yang terdapat di Makkah ketika itu. Khalid bin al-Walid diutus merobohkan berhala al-'Uza, Amr bin al-'Ash merobohkan berhala Suwa' dan Sa'd bin Zaid al-Asyhali merobohkan berhala al-Manat.

-Pada tahun 584 Hijriyah Salahuddin Al-Ayyubi dapat mengalahkan tentera Salib dan membebaskan semula sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian). Ketika tibanya bulan Ramadhan, penasihatpenasihat Salahuddin menyarankan agar beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam".

Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

-Pada tahun 658 Hijriyah Kerajaan Mamalik dapat mengalahkan dan menyekat kemaraan tentera Tartar Mongol di 'Ain Jalut. Peperangan ini terjadi sejajar dengan jatuhnya Daulah Abbasiyyah. Kota Baghdad yang ketika itu merupakan pusat perkembangan ilmu berhasil mereka hancurkan. Buku-buku perpustakaan di Baghdad mereka tenggelamkan di Sungai Tigris untuk dijadikan jambatan. Dalam sejarah digambarkan betapa air sungai Tigris kala itu berwarna kehitam-hitaman karena tertalu banyak dakwat yang larut. Demikianlah berakhirnya sebuah peradaban moden Islam di Baghdad. Umat Islam tidaklah berdiam diri membiarkan orang-orang kafir merobek-robek kemuliaan Islam. Penguasa Mesir ketika itu Saifuddin Quths menggerakkan pasukan Islam menuju ke Syam untuk menghalang tentera Mongol. Dua buah pasukan besar tersebut akhirnya bertemu di sebuah tempat yang bernama 'Ain Jalut (terletak di Palestin). Sejarah mencatatkan bahwa di 'Ain Jalutlah akhirnya pasukan Tartar ditumpaskan oleh kaum Muslimin.

Begitulah sedikit rentetan nostalgia dan pengajaran bagaimana
kegigihan umat Islam terdahulu dalam menjaga agama Allah ini. Untuk mengembalikan khilafah yang telah hilang ini, ia takkan berlaku dengan hanya sekadar ucapan atau retorik yang indah-indah tanpa sebarang tindakan dan penyatuan amal yang padu. Kemenangan yang dicita-citakan takkan tercapai jika masih terus bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak selayaknya dilakukan oleh golongan agamawan. Ingatlah para sahabat, kemenangan bukanlah suatu yang percuma bahkan ia menuntut kepada jiwa dan jasmani yang suci agar anugerah tersebut tidak disia-siakan oleh tangan-tangan kotor tetapi mengaku merekalah pemegang panji-panji Islam. Manfaatkan Ramadhan ini dengansebaiknya dan berdoalah agar diterima segala amalan kita.
Wallahua'lam.